ALOR SETAR: Seorang lelaki dikhuatiri hilang dalam kawasan hutan di Pusat Rekreasi Sedim, Kulim, dekat sini pada Jumaat.

Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba (PgKB) II, Rahimi Ali berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kedah menerima panggilan kecemasan berkaitan kehilangan lelaki dikenali sebagai Mohd Hafiz Jasmi, 38, kira-kira jam 4.25 petang.

Menurutnya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim- Hitech kemudiannya diarahkan ke lokasi kejadian.

"Setibanya pasukan keluaran operasi di lokasi, maklumat awal diterima adalah mangsa dipercayai seorang guru dipercayai telah hilang di kawasan rekreasi terbabit.

"Berdasarkan petunjuk diperolehi, terdapat sebuah kereta jenis Proton Saga dipercayai milik mangsa yang ditinggalkan di kawasan rekreasi itu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau menambah, Pusat Kawalan Bomba (PKB) diaktifkan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa diteruskan dengan bantuan khidmat unit anjing pengesan (K9) dan pasukan Multi Skill Team (MUST).

Rahimi berkata, operasi dilakukan sepasukan lapan anggota BBP Kulim Hi-Rech terbabit turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan renjer hutan.

Menurut beliau, operasi SAR mangsa yang hilang sejak Jumaat diteruskan pada jam 8.30 pagi, Sabtu melibatkan tiga zon.

"Untuk zon 1, operasi SAR itu bermula dari PKB menuju ke puncak Gunung Bintang melibatkan jarak enam kilometer (km), manakala zon 2 pula bermula dari PKB ke kawasan bahagian bawah dengan jarak dua km.

"Bagi zon 3, operasi SAR bermula dari PKB melalui trek pendakian sejauh dua km,"katanya.

Difahamkan, operasi SAR terbabit ditangguhkan jam 5.30 petang, Sabtu berikutan hujan lebat dan akan disambung semula jam 8 pagi Ahad. - Sinar Harian